KUALA LUMPUR – Arah saja Duta Korea Utara ke Malaysia itu pulang ke negara asalnya, kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Katanya, tidak ada guna pemimpin kerajaan atau parti politik mengatakan Kang Chol biadab.
“Dia tak faham erti biadab. Arah dia pulang,” katanya ringkas menerusi status yang dimuat naik dalam akaun facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kang Chol, yang menuduh Malaysia bersekongkol dalam pembunuhan abang pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-nam minggu lalu.
Duta itu turut mendakwa Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa seterunya dalam penyiasatan kes pembunuhan Jong-nam.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyuarakan kemarahannya dengan sikap Kang Chol dan menyifatkan tuduhan itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang duta. – MalaysiaGazette