Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andreano Erwin menemui Siti Aisyah, 25, dari Serang, Indonesia, kira-kira 30 minit di Kompleks Balai Polis Cyberjaya di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan itu, Andreano berkata Siti Aisyah kelihatan sihat.
“Dia boleh menjawab semua soalan yang kami tanyakan dengan baik. Secara fizikal, kami tidak melihat ada apa-apa kesan (daripada agen saraf VX yang digunakan dalam pembunuhan Jong-nam).
“Namun, secara emosi dan kejiwaan, kami belum tahu kerana ia memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di luar kompleks balai polis itu.
Siti Aisyah adalah antara empat individu yang ditahan polis secara berperingkat susulan pembunuhan Jong-nam pada 13 Feb lepas.
Jong-nam, yang menggunakan pasport Korea Utara dengan nama Kim Chol, berada di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila beliau dihampiri dua wanita yang didakwa menyapu mukanya dengan bahan beracun.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate’ atau Agen Saraf VX telah digunakan dalam pembunuhan Jong-nam.
Menurutnya seorang daripada dua wanita asing yang ditahan reman itu mengalami muntah-muntah dipercayai akibat kesan bahan kimia itu.
Ditanya sama ada Siti Aisyah adalah wanita sama di dalam pasport republik itu, Andreano berkata pihak kedutaan telah membawa peralatan untuk mendapatkan cap jari wanita itu dan datanya akan dihantar ke Indonesia untuk dikenal pasti.
“Mudah-mudahan, dalam masa sehari, kita akan mendapatkan keputusan sama ada dia adalah orang yang sama di dalam pasport atau tidak,” katanya.
Dalam pertemuan singkat itu, Andreano berkata Siti Aisyah memberitahunya bahawa dia tidak mahu bertemu dengan keluarganya buat sementara waktu kerana tidak mahu mereka bersedih melihat keadaannya.
“Permintaan Siti adalah agar ibu bapanya tenang dan menjaga kesihatan… (katanya) ‘sampaikan kepada keluarga bahawa saya (Siti) sihat-sihat saja saat ini,” kata Andreano.
Beliau berkata Siti Aisyah mendakwa tidak mengetahui plot pembunuhan Jong-nam dan ditawarkan untuk terlibat dalam satu rancangan realiti gurauan di Malaysia dengan bayaran RM400.
Menurutnya Siti Aisyah mendakwa lelaki mirip Korea dan Jepun bernama ‘James’ dan ‘Chang’ telah memintanya terlibat dalam rancangan realiti tersebut.
“Siti memberitahu bahawa beliau tidak mengetahui bahan yang digunakan adalah racun. Dia memberitahu ia adalah seperti baby oil (minyak untuk bayi),” katanya.
Beliau berkata Siti Aisyah juga memberitahu bahawa dia tidak mengenali suspek wanita Vietnam yang turut ditahan reman itu.
Ditanya tindakan selanjut pihak Kedutaan Indonesia, Andreano berkata pihaknya akan menunggu tindakan selanjut polis Malaysia sama ada mendakwa atau membebaskan Siti Aisyah apabila tempoh remannya tamat pada 1 Mac ini.
“Kami akan menunggu prosedur perundangan ini. Kami akan berbincang dengan peguam kami…banyak perkara yang harus kami bincang. Yang pasti, kami akan mematuhi undang-undang Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, kenderaan Kedutaan Vietnam juga kelihatan masuk ke perkarangan Kompleks Balai Polis Cyberjaya pada 11.30 pagi tadi dipercayai untuk bertemu seorang lagi suspek wanita dalam kes pembunuhan Jong-nam itu.
Kenderaan kedutaan itu meninggalkan kawasan balai polis itu kira-kira sejam kemudian tanpa memberi sebarang komen kepada media.
Suspek wanita itu memegang pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong.
— BERNAMA