SEOUL – Seorang pakar di Korea Selatan memberitahu, Korea Utara memiliki 5,000 tan senjata kimia, termasuk toksin yang didakwa digunakan untuk membunuh abang tiri pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-Nam.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, Kertas Putih Pertahanan 2014 menyebut negara jirannya mula menghasilkan senjata kimia pada 1980-an dan menganggarkan ia kini memiliki 2,500 hingga 5,000 tan simpanan.
Menurut dokumen itu, Korea Utara dilapor memiliki kemudahan menghasilkan senjata kimia di lapan lokasi termasuk di pelabuhan Chongjin di timur laut republik itu dan di bandar raya Sinuiju.
“Korea Utara dipercayai memiliki simpanan besar VX, yang boleh dihasilkan dengan kos rendah. Dibangunkan 100 tahun lalu, VX boleh dihasilkan di makmal kecil atau kemudahan yang mengeluarkan racun serangga.
“Senjata kimia dan biologi boleh dipindahkan menerusi pelbagai cara termasuk artileri, peluru berpandu dan kapal terbang,” kata penganalisis pertahanan, Lee Il-Woo, di Rangkaian Pertahanan Korea persendirian.
Kesan VX, agen saraf yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dikesan pada contoh yang diambil daripada muka dan mata Jong-Nam, yang diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) minggu lalu.
Polis menahan tiga wanita dari Indonesia dan Vietnam serta seorang lelaki Korea Utara, selain masih memburu tujuh lagi, empat daripadanya dipercayai sudah melarikan diri ke Pyongyang. – MalaysiaGazette