KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim meramalkan PKR tidak akan memimpin kerajaan negeri Selangor walaupun berjaya dua penggal memerintah sekiranya berlaku saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Bekas setiausaha agung PKR itu kelihatan tidak yakin Selangor dapat dipegang gabungan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya percaya PKR belum tentu dapat memimpin Selangor selepas PRU14 jika berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya.
“Azmin mungkin boleh memenangi kerusi ditandinginya tetapi untuk membentuk kerajaan negeri, itu soal lain,” kata Khalid yang dipetik dalam wawancara akhbar hari ini.
Khalid disingkir PKR dan juga jawatan menteri besar pada 2014 dalam apa yang dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’.
Berhubung kajian tinjauan agensi kerajaan negeri Institut Darul Ehsan (IDE) yang menunjukkan Azmin makin popular, Khalid berkata, ia ibarat solekan sahaja.
“Bagi saya [tinjauan] itu cuma untuk hubungan awam (PR) sebab kalau gincu itu bagus, hanya nampak lawa jika bibir si pemakainya cantik. katanya.
“Pada saya kajian sebegini hanyalah nak tunjukkan kita cantik. Tunjukkan cantik ini tidak akan menyelesai masalah sebab cantik itu pun melalui proses masa,” dakwanya.
Selain itu, Khalid juga menuduh pentadbiran Selangor mengalami ketirisan bawah kepemimpinan Azmin.
“Sebab itu saya sangat menekankan kepada konsep audit dalam pentadbiran saya. Saya dapati kerajaan Selangor sekarang sangat terdedah kepada ketirisan.
“Saya dapati beberapa ketirisan sudah berlaku kalau diambil kira daripada jumlah kos yang terpaksa dibayar,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak merujuk khusus kes-kes atau projek-projek yang didakwa mengalami ketirisan. – MalaysiaGazette