Tangkap layar individu yang tular di Facebook.

MELAKA – Tidak semua masjid dan surau di negeri ini diwajibkan menyediakan juadah berbuka puasa percuma kepada orang ramai sehingga tular isu kononnya ia adalah hak rakyat yang perlu diberikan kepada semua.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman sebaliknya menegaskan, ia bergantung kepada faktor kewangan pengurusan rumah ibadah itu.

“Jika kewangan mereka terhad, mungkin juadah berbuka puasa itu hanya disediakan kepada pegawai syarak bertugas atau dihadkan kepada sekitar 10 hingga 20 orang jemaah sedia ada sahaja.

Rahmad Mariman

“Ia terpulang kepada masjid tapi jika tambahan jemaah yang datang itu seorang dua, mustahil mereka tidak dialu-alukan kecuali jika bilangannya sehingga 20 atau 30 orang kerana juadah mereka terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini bagi mengulas penularan tangkap layar seorang individu di Facebook (FB) mendakwa sebuah masjid di Pulau Sebang, Alor Gajah tidak menerimanya untuk berbuka puasa semalam.

Lelaki itu mendakwa, dia datang ke masjid berkenaan semalam untuk berbuka puasa namun juadah itu hanya disediakan untuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid sahaja serta tidak melibatkan orang luar sedangkan ia adalah duit rakyat.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek juga tidak menolak kemungkinan isu berkenaan timbul disebabkan cara jawapan balas diberikan pengurusan masjid yang kurang sesuai.

“Mungkin pendekatan AJK menjawab dan beri penjelasan itu yang buatkan netizen marah tapi ia berbalik kepada asasnya, juadah berbuka puasa tidaklah wajib disediakan kepada semua,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast