Masyarakat Semelai turut menjelaskan kewujudan pos kawalan yang dibina penduduk beberapa bulan sebelum operasi UPNP pada 14 September lalu bukan bertujuan menghalang pihak berkuasa, sebaliknya untuk menjaga keselamatan penduduk, rumah, tanaman dan harta benda dalam kawasan yang dianggap sebagai Tanah Adat Orang Asli Semelai.

BERA – “Jangan jadikan kami kambing hitam sindiket luar.”

Itu penegasan Batin-Batin dan Lembaga Adat Orang Asli Semelai di sekitar Tasek Bera yang menafikan dakwaan masyarakat mereka diperalatkan sindiket luar untuk meneroka ribuan hektar tanah secara haram.

Sebaliknya, mereka mendakwa isu sebenar jauh lebih besar dan bukan sekadar membabitkan enam buah rumah seperti yang digambarkan pihak berkuasa.

Menurut mereka, operasi dan kemasukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) melibatkan kawasan lebih luas yang menjadi ruang kehidupan lebih 3,000 masyarakat Semelai di sekitar Tasek Bera.

Dalam kenyataan, mereka menegaskan bahawa masyarakat Semelai telah mendiami kawasan berkenaan sejak turun-temurun dan bergantung kepada kawasan sekitar untuk mencari hasil hutan, tumbuhan ubatan, menangkap ikan, memburu, mencari damar, bercucuk tanam serta menanam padi huma.

“Isu ini menyentuh kehidupan ribuan masyarakat Semelai yang telah mendiami kawasan Tasek Bera sejak turun-temurun.

“Gambaran bahawa isu ini hanya melibatkan beberapa buah rumah adalah tidak tepat,” katanya.

Komuniti Orang Asli turut menafikan dakwaan wujud sindiket luar yang membuka ribuan ekar tanah secara haram dan memanipulasi masyarakat Orang Asli.

Sebaliknya, mereka mendakwa kawasan yang dipertikaikan merupakan sebahagian daripada kawasan yang dianggap sebagai tanah adat masyarakat Semelai dan digunakan sejak generasi terdahulu.

Malah, mereka mempersoalkan dakwaan keluasan kawasan yang diteroka secara haram itu kerana mendakwa pihak UPNP tidak pernah menunjukkan kepada mereka kawasan yang telah diukur.

Dalam pada itu, masyarakat Semelai turut menjelaskan kewujudan pos kawalan yang dibina penduduk beberapa bulan sebelum operasi UPNP pada 14 September lalu.

Menurut mereka, pos berkenaan bertujuan menjaga keselamatan penduduk, rumah, tanaman dan harta benda, bukannya untuk menghalang pihak berkuasa memasuki kampung.

Mereka berkata, masyarakat Semelai tidak pernah menetapkan UPNP tidak boleh memasuki kampung, sebaliknya meminta setiap kemasukan dimaklumkan terlebih dahulu dan dibincangkan bersama Batin, Lembaga Adat serta masyarakat setempat.

Mengenai dakwaan berlaku provokasi ketika operasi, mereka turut menafikannya.

Sebaliknya, mereka mendakwa Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali terlebih dahulu menyepak “Tengkarang”, iaitu bekas tempat membakar “kijai” atau kemenyan masyarakat Semelai.

Mereka menjelaskan pembakaran kemenyan itu merupakan sebahagian daripada amalan tradisi untuk keselamatan penduduk dan kawasan, bukannya bertujuan mencederakan atau menyantau mana-mana pihak.

Sebelum ini, UPNP dilaporkan mendakwa lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal Tasek Bera disyaki diteroka secara haram bagi tanaman komersial, selain mengesyaki kewujudan sindiket luar yang memanipulasi masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, Batin-Batin dan Lembaga Adat Semelai menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan mereka bukan penceroboh.

Pertikaian itu kini bukan lagi sekadar mengenai penerokaan kawasan hutan, sebaliknya turut membabitkan persoalan status tanah, hak adat dan sempadan kawasan yang didakwa menjadi tanah adat masyarakat Semelai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here