KUALA LUMPUR – Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat yang melanda sekitar ibu negara dan kawasan berhampiran, hari ini.
Sehubungan itu, PGO Kuala Lumpur menggerakkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi terjejas bagi menjalankan tindakan menyelamat dan pemantauan.
PGO JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, empat kejadian banjir kilat direkodkan setakat ini membabitkan kawasan di Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang.
Katanya, insiden pertama dilaporkan berhampiran Tuscany Home Furnitures di Jalan Mengkudu, Ampang, melibatkan sebuah kenderaan terkandas dalam air sedalam 0.9 meter.
Dalam kejadian itu, ujarnya, seorang mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan oleh enam anggota dari BBP Keramat.
“Kejadian kedua berlaku berhampiran Kondominium Desa Angkasa, Taman U-Thant, membabitkan sebuah kereta mewah jenis BMW yang terkandas dalam genangan air setinggi 0.6 meter. Dua mangsa di dalam kenderaan berkenaan berada dalam keadaan selamat selepas dibantu lima anggota BBP Jalan Tun Razak,” katanya hari ini.
Tambahnya, BBP Keramat turut memberi bantuan kepada JBPM Selangor bagi kes ketiga di Jalan Kolam Air Lama C, Ukay Perdana Height, Ampang.
Jelasnya, kejadian membabitkan sebuah kediaman yang dinaiki air dengan penghuni melaporkan wujud risiko renjatan elektrik pada genangan air di kawasan tersebut.
“Bagi kes keempat di Menara Safuan, Jalan Ampang, lima anggota BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan kawasan tempat letak kenderaan dinaiki air.
“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















