Noh Omar

RAWANG – Jangan gunakan sekolah untuk berpolitik, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar.

Sambil membidas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menampal gambar mereka pada meja sekolah, beliau berkata, kerajaan Selangor nampaknya semakin tersepit untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Katanya, rakyat Selangor tidak lagi menunjukkan sokongan kepada pemimpin atau wakil rakyat dari DAP, PKR dan Pas kerana selama sejak mengambil negeri ini pada tahun 2008, banyak kebajikan rakyat terabai.

“Justeru, menyedari masalah itu, ada beberapa wakilnya mula menjadikan sekolah kebangsaan dan sekolah agama sebagai bahan politik.

“Mereka menyumbangkan meja dan kerusi untuk kegunaan murid. Kita alu-alukan, tetapi kalau meletakkan gambar mereka pada setiap meja serta kerusi, ini sudah melampau,” katanya berucap pada program Rakyat Negaraku, Generasiku di Bukit Beruntung, malam semalam.

Noh turut mendedahkan ada pengurusan sekolah agama di Selangor telah diberi peringatan oleh PH supaya tidak membenarkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) masuk ke sekolah dan menyumbangkan bantuan.

Sedangkan, selama ini, kata Noh, kerajaan BN dan UMNO Selangor banyak membantu menyumbangkan keperluan sekolah seperti peralatan mengajar dan pembelajaran, tetapi tidak ada satu meja atau kerusi pun tertera gambar mereka.

Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kepimpinan PH negeri itu akan menggunakan apa saja medium termasuk media sosial untuk memburuk-burukkan kerajaan BN Selangor.

“Kita tunggu Pilihan Raya Umum ke-14 ini untuk menentukan siapa baik, siapa buruk. BN Selangor walaupun sebagai pembangkang di negeri ini telah menunjukkan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, berbanding pemimpin PH,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast