KUALA LUMPUR – The Saudi Arabian Oil Co. (Aramco) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hari ini menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) yang membolehkan Aramco memiliki ekuiti dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pemilikan setara (50:50) dalam penerokaan dan aset terpilih aset dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Perjanjian tersebut juga akan menyaksikan Aramco bakal melakukan pelaburan sebanyak AS$7 bilion selain membekalkan sehingga 70 peratus keperluan minyak mentah untuk loji penapisan minyak RAPID manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan oleh Petronas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, perjanjian itu akan mengukuhkan lagi kedudukan, pengalaman operasi serta prestasi kedua-dua syarikat dalam membangunkan projek-projek mega serta rangkaian komersial dalam pelbagai pasaran global.

“Kami juga akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dan berkongsi dalam pelbagai bidang lain yang berpotensi bagi mengeratkan lagi hubungan terjasama jangka panjang sedia ada,” katanya.

Beliau menyatakan demikian paad sidang media selepas majlis pemeteraian SPA antara Aramco dan Petronas di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis itu, Aramco diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Amin H. Nasser manakala Petronas diwakili oleh Presiden dan CEOnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Projek RAPID merupakan sebahagian daripada PIC yang dibangun dan dikendalikan oleh Petronas.

PIC merupakan sebahgian daripada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) berkeluasan 22,000 ekar.

Ia bakal menjadi hab industri minyak dan gas hiliran serantau serta membuka era baharu pembangunan dan teknologi di Asia Tenggara.

Dengan keupayaan memproses 300,000 tan minyak mentah sehari, RAPID mampu menghasilkan pelbagai keluaran petroleum bertapis, termasuk petrol dan diesel yang menepati spesifikasi Euro 5 serta bahan suapan bagi kompleks petrokimia bersepadu dengan kapasiti 3.5 juta tan produk setahun.

Sementara itu, Nasser dalam ucapannya berkata, Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan yang besar dan perjanjian yang dimeterai pada hari ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Aramco sebagai pembekal bahan suapan petroleum ke Malaysia dan Asia Tenggara.

Tambah beliau, kedudukan strategik RAPID di hab yang berkembang pesat bakal memastikan tenaga di rantau Asia Pasifik terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast