Pelakon, Datuk Hans Isaac bersama Gabriela pada majlis sidang media perkahwinan mereka di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Hans Isaac akhirnya memilih bekas ratu dan model terkenal Gabriela Robinson sebagai isterinya.

Mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan pada 29 Julai ini selepas berkenalan sejak tahun 2011 dan mengikat tali pertunangan pada 29 Januari lepas di Singapura.

Dalam sidang medianya hari ini, Hans yang berusia 46 tahun itu berkata, pengumuman hari ini sebagai menepati janjinya kepada pihak media yang sebelum ini kerap menanyakan bila beliau mahu menamatkan zaman bujang.

“Sebelum ini bila media interbiu dan tanya saya, saya minta diberi ruang sehingga saya berjumpa dengan seseorang di hati saya dan hari ini saya menunaikan janji itu.

“Saya sebenarnya gementar hari ini, tak segementar kalau macam promosi filem atau majlis lain,” ujarnya bersama Gabrielle yang berusia 26 tahun dan pernah menjadi Miss International Tourism 2011.

Mengimbas kembali, Hans berkata beliau menempah hotel untuk perkahwinannya pada tarikh 29 Julai sebelum melamar Gabriela dan apabila gadis pilihan hatinya itu bersetuju barulah beliau mengesahkan tempahan.

Sebelum itu, Hans yang banyak berlakon dalam filem dan drama Melayu sering dikaitkan dengan gosip bercinta dengan artis wanita terkenal seperti Erra Fazira dan Fasha Sandha.-MalaysiaGazette