Home Utama Syarikat Korea Utara jual peralatan tentera dalam proses dibatalkan

Syarikat Korea Utara jual peralatan tentera dalam proses dibatalkan

Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Bukit Aman dalam proses untuk membatalkan dua syarikat yang dikaitkan dengan syarikat milik Korea Utara yang menjalankan perniagaan peralatan ketenteraan di luar Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mematuhi peraturan-peraturan antarabangsa berkaitan sekatan dan mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan Malaysia tidak digunakan untuk aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan agensi asing yang mendakwa wujud sebuah syarikat Glocom di Malaysia melalui entiti International Global System dan International Global Services di Little India, di Kuala Lumpur.

Tegas Khalid, seperti laporan berita itu yang memetik sumber sebagai berkata, tidak ada syarikat bernama Glocom di Malaysia.

Glocom didakwa milik agen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio tempur, melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut draf laporan Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun, ia menyebut dalam laman web glocom.com.my yang didaftar pada tahun 2009 oleh sebuah entiti International Global System.

Sebuah lagi syarikat yang turut disenaraikan sebagai pihak yang boleh dihubungi ialah International Golden Services.

Khalid berkata, syarikat-syarikat berkenaan dikuasai oleh pengarah-pengarah Korea Utara dan pemegang sahamnya.

“Polis mengetahui tentang syarikat-syarikat ini,” katanya sambil memberitahu International Global System Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan multimedia dan elektronik dan dagangan.

Syarikat ini dalam proses dibatalkan.

International Golden Services Sdn. Bhd. pula didaftar pada 2012 dengan menjalankan perniagaan teknologi maklumat dan produk teknologi telekomunikasi, juga penyedia penyelesaian.

Ia juga sedang dalam proses dibatalkan. – MalaysiaGazette