PERANCIS – Seorang anggota polis secara tidak sengaja melepaskan tembakan dan mencederakan dua orang semasa Presiden Francois Hollande menyampaikan ucapan di barat Perancis.
Tembakan itu terlepas ketika anggota polis itu, yang juga seorang penembak tepat sedang bergerak di atas bumbung kira-kira 100 meter daripada khemah tempat Hollande berucap di bandar Villognon.
Peluru itu menembusi kanvas khemah, tempat penyediaan minuman.
Tembakan itu didakwa terkena peha seorang pelayan dan menembusi otot seorang lagi mangsa.
Ketika kejadian, Hollande sedang melancarkan laluan landasan keretapi. Meskipun bunyi tembakan itu menganggu ucapan Hollande tetapi ia tidak menimbulkan keadaan panik.
“Saya berharap tidak ada yang serius, saya rasa tidak,” kata Hollande yang bertanya ada sesiapa yang cedera selepas mendengar bunyi tembakan itu. – MalaysiaGazette