KUALA LUMPUR – Invest Kuala Lumpur Corp (InvestKL) menyasar 10 syarikat multinasional (MNC) untuk melabur di Greater Kuala Lumpur pada tahun ini.

Syarikat-syarikat yang disasarkan itu adalah dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Timur Tengah yang menerajui rantaian nilai dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah berkata, sasarannya adalah syarikat-syarikat yang mahu meluaskan aktiviti serantau dalam perniagaan, inovasi dan teknologi.

Selain itu, terdapat peluang-peluang pelaburan dalam pembuatan berteknologi dan perkhidmatan perniagaan global.

Menurut beliau, meskipun berhadapan dengan cabaran-cabaran global, InvestKL telah mencapai 64 peratus bagi sasaran tahun 2020 untuk menarik 100 syarikat MNC di Greater Kuala Lumpur.

Pada tahun lalu, InvestKL menyaksikan penyertaan 13 syarikat MNC dengan pelaburan RM2.9 bilion dengan jumlah pekerjaan yang diwujudkan di peringkat serantau 1,862.

Sejak 2011 hingga 2016, InvestKL merekodkan pelaburan berjumlah RM8.9 bilion dengan RM3.2 bilion pelaburan yang direalisasikan. – MalaysiaGazette