Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin kelihatan hadir ke mahkamah berikutan kes pembunuhan Kim Chol di Kompleks Mahkamah Sepang, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2017

SEPANG – Kedutaan Indonesia mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem perundangan Malaysia yang akan mengendalikan kes membabitkan Siti Aisyah.

“Saya yakin dengan sistem perundangan negara ini yang akan memberi keadilan kepada Siti Aisyah,” kata Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andreano Erwin ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Sepang.

Katanya, Siti Aisyah yang dituduh membunuh seorang lelaki warga Korea Utara akan diwakili oleh lima peguam.

Menurut beliau, sepanjang proses perbicaraan kes, pihaknya akan membuat permohonan untuk mengunjungi Siti Aisyah di Penjara Kajang.

Tambahnya, pihaknya mungkin akan menemui Siti Aisyah minggu depan

Beliau yang sempat bertemu dan berbual dengan Siti Aisyah semasa pendakwaan kes bunuh itu berkata, wanita itu kelihatan tenang dan kesihatannya baik.

“Sepanjang pengetahuan saya semasa cakap dengan Aisyah, dia baik dan sihat dari segi kesihatannya.

“Saya sudah meminta Aisyah supaya sentiasa berdoa, jaga kesihatan dan tidak perlu risau,” katanya.

Siti Aisyah ditahan di Ampang susulan kejadian kematian seorang lelaki Korea Utara yang dikenal pasti sebagai Kim Chol.

Dia dan seorang lagi wanita warga Vietnam, Doan Thi Houng sebagai suspek utama dituduh membunuh Kim Chol, yang juga disebut sebagai Kim Jong-nam pada 13 Februari di klia2 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast