Robert Kuok

KUALA LUMPUR – Taikun, Robert Kuok kekal sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$11.14 bilion untuk tahun ke-12 berturut-turut.

Kuok memiliki empayar dalam minyak sawit, perkapalan dan hartanah melalui Kuok Group, menyaksikan nilai kekayaannya Kuok naik berbanding AS$10 bilion sebelumnya.

Individu kedua terkaya pula ialah Quek Leng Chan, pengerusi Hong Leong Co. (Malaysia) dengan nilai kekayaan AS$6.8 bilion, bertambah daripada RM5.3 bilion tahun lalu.

Quek merampas kedudukan Ananda Krishnan yang berada pada kedudukan ketiga selepas kekayaannya menyusut sebanyak 12.2 peratus kepada AS$6.5 bilion disebabkan tanggungan hutang Aircel.

Forbes dalam kenyataannya berkata, pada tahun ini menyaksikan penyertaan sulung tiga individu baharu dalam senarai tersebut.

Mereka terdiri daripada dua beradik Koon Poh Ming dan Poh Keong pada tempat ke-13 dengan nilai kekayaan AS$1.05 bilion.

Poh Ming dan Poh Keong adalah pemegang saham terbesar Press Metal Berhad, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Pengasas My E.G Services Berhad, Wong Thean Soon, pula pada kedudukan ke-39 dengan kekayaan berjumlah AS$330 juta.

Forbes Media yang menerbitkan majalah Forbes Asia berkata, nilai bersih minimum untuk individu dimasukkan ke dalam senarai tersebut tahun ini ialah AS$ 210 juta, meningkat daripada AS$195 juta tahun lalu.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki kekayaan berjumlah AS$1.8 bilion berada pada tempat ke-10.

Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting pada kedudukan keenam dengan nilai kekayaan sebanyak AS$4.45 bilion. – MalaysiaGazette