KUANTAN – Banjir di Rompin kembali buruk malam ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 125 orang daripada 34 keluarga berbanding 99 orang daripada 28 keluarga petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof berkata, sebuah lagi pusat pemindahan sementara dibuka petang ini iaitu di Balai Raya Kampung Rekoh, selepas Balai Raya Kampung Setajam yang mula beroperasi sejak semalam.

“Di Kampung Setajam, jumlah mangsa kekal 99 orang daripada 28 keluarga manakala di Kampung Rekoh, seramai 26 mangsa daripada enam keluarga kini ditempatkan di balai raya di situ,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zainal mengesahkan setakat ini tiada jalan di Rompin yang ditutup akibat banjir. – Bernama