GEORGE TOWN – Doktor bahagian forensik sebuah hospital kerajaan di bandar raya ini yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita sebelum ini, sekali lagi direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah reman selama empat hari sehingga 10 Mac itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap suspek berusia 43 tahun.
Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah bagi mendapatkan perintah reman pukul 8.30 pagi dengan diiringi polis.
MalaysiaGazette difahamkan, tangkapan terhadap pegawai perubatan itu dibuat semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut susulan pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30 tahun pada 4 Mac lalu yang mendakwa menjadi mangsa doktor berkenaan.
Difahamkan, pekerja kecantikan kuku itu menjadi mangsa suspek ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023.
Mangsa dikatakan tampil membuat laporan selepas mendapati suspek ditahan pada 26 Februari lalu atas kesalahan sama.
Media pada 27 Februari lalu melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung kes doktor sebuah hospital di sini, ditahan susulan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
Pengarahnya, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, JKNPP memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan itu.
MalaysiaGazette difahamkan doktor terbabit berkelakuan tidak senonoh dengan seorang wanita awam dan kelakuannya dikesan kakitangan hospital. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Doktor berkelakuan tak senonoh: JKNPP beri kerjasama bantu siasatan polis
















