Setelah kejayaan filem Polis Evo mengutip RM17.47juta dua tahun lalu, kini sebuah lagi filem kepolisan muncul.

Namun adalah tidak adil untuk membandingkan J Revolusi dengan filem tersebut.

Mungkin keduanya menggunakan polis sebagai subjek, namun genre yang diketengahkan jauh berbeza.

Belumpun berada di pawagam, ramai yang meletakkan sasaran filem ini paling tidak dapat menandingi filem terbitan Astro Shaw itu.

Bagaimanapun tidak adil untuk mengaitkan J Revolusi dengan Polis Evo, sedangkan banyak lagi filem dengan latar kepolisan di Malaysia.

Antaranya Gerak Khas The Movie, Pemburu Bayang malahan juga Jefri Zain – Gerak Kilat.

J Revolusi mendapat sentuhan pengarah baru, Zulkarnain Azhar.

Filem ini mengisahkan tentang Jay Zulkarnain (lakonan Zul Arifin) yang perlu menyelamatkan adik perempuannya, Dian (Fazura), seorang ejen penyamaran yang telah diculik oleh seorang lelaki misteri yang pernah memerangkap Jay.

Dalam misi menyelamat adiknya itu, Jay terperangkap dan dituduh membunuh seorang rakan setugasnya.

Tercetuslah pelbagai konflik dan insiden mengejutkan yang menghantui Jay.

Sebelum memasuki pawagam, harapan yang tinggi diletakkan setelah membaca nama pelakon yang cukup kredibel dalam filem ini.

Selain Zul Arifin dan Fazura, nama-nama lain adalah Izara Aisyah, Farid Kamil, Iedil Putra serta Azad Jazmin.

Lebih menarik J Revolusi mendapat kebenaran Unit Tindakan Khas (UTK) untuk memaparkan kisah unit itu dalam filem ini.

Walau bagaimanapun, Zulkarnain menjelaskan apa yang dipaparkan dalam J Revolusi adalah cuma sebahagian kecil sahaja daripada kisah realiti unit Polis DiRaja Malaysia itu.

Namun persembahan J Revolusi agak hambar.

Pengarah dilihat terlalu mengutamakan shot yang classy serta aksi perlawanan.

Filem ini gagal menyerlah dari sudut emosi dan penceritaan.

Konflik dalaman Jay dan Dian gagal diterjemahkan sehingga gagal meninggalkan kesan terhadap penonton.

Sekiranya, pengarah memilih untuk menguatkan konflik dua beradik ini mungkin boleh meninggalkan kesan kepada penonton.

Malahan terdapat banyak babak yang agak panjang sehingga momentum tontonan menjadi longgar.

Bagaimanapun J Revolusi masih menarik untuk ditonton.

Plot twist dalam peleraian filem ini agak menarik menjadikan para penonton tidak menduga kesudahan J Revolusi.

Filem dengan bajet RM3 juta ini menemui penonton mulai 2 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast