KUALA LUMPUR – Sentimen Sabah For Sabahan (Sabah untuk Orang Sabah) yang digunakan bagi menidakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak wajar dibiarkan berterusan.
Ini kerana menurut Ketua Pemuda BN Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin, sentimen itu bukan sahaja tidak sihat, malah boleh merosakan keharmonian antara penduduk Semenanjung dan Sabah.
Jelas beliau, UMNO dan BN sebelum ini bukan parti yang hanya mewakili penduduk Semenanjung, tetapi keseluruhan rakyat melibatkan Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, tegasnya, sentimen Sabah For Sabahan hanyalah retorik politik yang dimainkan hanya bertujuan menutup kegagalan pihak yang kononnya mahu membangunkan dan memajukan Sabah.
“Yang memainkan slogan tersebut mungkin lupa bahawa dulunya mereka juga ahli dan pemimpin serta Menteri dari parti semenanjung ini.
“Sejak UMNO dan Barisan Nasional bertapak di Sabah belum pernah lagi meletakan mereka yang lahir di Shah Alam atau Puchong sebagai calon mereka di Sabah, malah kesemua Ketua Menteri Sabah di era UMNO Barisan Nasional adalah anak jati Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaffarollah, berdasarkan rekod serta fakta, UMNO dan BN telah mengangkat ramai pemimpin dari Sabah menjadi Menteri di Persekutuan dan berjaya mambawa pembangunan dan kemakmuran di Sabah sebelum 2018.
Namun, katanya, disebabkan kegagalan menguruskan infrastruktur air dan jalan di Sabah yang tidak dapat lagi disorok kini, maka jalan mudah adalah dengan memainkan sentimen Sabah for Sabahan bagi mengalihkan kemarahan rakyat daripada permasalah sebenar.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi khususnya anak muda bahawa UMNO dan BN tidak datang untuk `melawan’ Sabah, tetapi untuk `berkawan’, sekali gus tidak sesekali membiarkan slogan yang dimainkan tersebut menutup kebenaran yang nyata.
“Sabah berhak maju, kita juga mahu melihat Sabah maju dan membangun semula sejak ia terhenti seketika pada 2018 dan percayalah hanya UMNO dan Barisan Nasional mampu mengembalikan zaman itu semula,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan slogan `Sabah For Sabahan’ yang disifatkannya sebagai pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah.
Jeffrey memberikan maklum balas terhadap gesaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut slogan Sabah For Sabahan tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sentimen itu tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan. – MalaysiaGazette