Sebuah kenderaan Kedutaan Korea Utara dilihat keluar dari kedutaan tersebut di perkarangan Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengusir dan mengiktiraf Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, sebagai Persona Non Grata adalah keputusan tepat yang menggambarkan ketegasan kerajaan mempertahankan kedaulatan negara.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh rakyat negara ini ekoran keputusan mengusir duta berkenaan kerana Malaysia tidak rugi apa-apa dengan tindakan berkenaan.

Malah katanya, Malaysia kini dinasihatkan untuk mengambil langkah menggantung terus hubungan diplomatik dengan Korea Utara jika negara itu terus mengeluarkan kenyataan provokatif yang melanggar protokol diplomatik dan menjejaskan martabat Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

“Tiada apa yang mengejutkan di dalam langkah kerajaan ini kerana tindakan secara berwenang-wenang Kang Chol menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dan mendakwa siasatan ke atas kematian Kim Jong-nam bermotifkan politik adalah tindakan yang amat melampaui batasan.

“Seperti dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, siasatan ke atas kematian itu dibuat secara profesional dan berintegriti, jadi tiada sebab untuk Kang Chol membuat tuduhan yang mencemarkan nama baik kerajaan, apatah lagi bila ia tidak disertakan bukti.

“Kerajaan sebenarnya boleh terus mengusir beliau dari negara ini bila tuduhan itu dikeluarkan tetapi masih bertimbang rasa dengan memberi beliau peluang untuk memohon maaf dan bersemuka, malangnya beliau masih berkeras, jadi sangat wajarlah bila kerajaan bertindak,” kata Kamarul kepada Malaysia Gazette.

 Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penganalisis politik itu juga berkata, rakyat negara ini tidak perlu bimbang kemungkinan tindakan kerajaan ini akan mendatangkan tindak balas keras Korea Utara.

Malah katanya, tindakan itu tidak langsung meletakkan Malaysia dalam kancah sengketa antarabangsa kerana apa yang berlaku adalah bukan disebabkan oleh Malaysia.

“Di dalam dunia yang semakin terbuka sekarang, Korea Utara tidak mampu untuk terus memencilkan diri dan hidup secara sendirian, negara itu lebih memerlukan kerjasama dari Malaysia dan negara-negara lain berbanding keperluan Malaysia dan negara-negara lain terhadap negara itu.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana tindakan kerajaan ini adalah bertepatan dengan nilai sejagat seperti terkandung dalam Artikel 9, Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, begitu juga dengan tindakan pembatalan visa bebas masuk ke Malaysia bagi warga Korea Utara.

“Korea Utara sebelum ini sudah banyak melanggar norma antarabangsa, termasuk membuat ujian nuklear dan melancarkan peluru berpandu jarak jauh yang menyebabkan ia dikecam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 2270 pada 2 Mac 2016.

“Sepatutnya Korea Utara tidak menyalahgunakan kemurahan hati Malaysia berbaik-baik dengannya untuk tujuan tidak baik, sedangkan masih banyak negara enggan menjalinkan hubungan diplomatik atau menarik-balik keistimewaan diberi kepada rakyatnya ekoran tindak-tanduknya.

“Tindakan Malaysia ini tidak syak lagi akan memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang berani mempertahankan kedaulatan negaranya sekali gus menghalang negara lain dari membuat cubaan memperlekehkannya di masa depan,” katanya.

Kang Chol semalam diberikan masa 48 jam untuk keluar daripada negara ini selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra dan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada kerajaan Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast