Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes demam denggi menunjukkan peningkatan sebanyak 22 kes pada 19 hingga 25 Februari berbanding 1,915 kes pada minggu sebelumnya dengan lima negeri merekodkan pertambahan kes.

Lima negeri itu ialah Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Melaka, Kedah dan Pahang.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes yang dilaporkan dari bulan Januari sehingga 25 Februari 2017 adalah 14,513 kes berbanding 25,403 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 43 peratus (10,890 kes).

Terdapat enam kes kematian dilaporkan sepanjang minggu kelapan, menjadikan kumulatif kematian denggi sehingga 25 Februari 2017 adalah sebanyak 40 kematian berbanding 54 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2016 iaitu penurunan sebanyak 14 kematian (26 peratus).

Pemantauan lokaliti wabak demam denggi menunjukkan sebanyak 678 lokasi wabak yang masih aktif.

Manakala terdapat 94 lokasi utama yang melibatkan lima buah negeri iaitu di Selangor (69), Perak (15), KL dan Putrajaya (4) dan masing-masing 3 di Johor serta Negeri Sembilan.

“Pada minggu kelapan tahun 2017, trend kes denggi telah menunjukkan peningkatan semula.

“Orang ramai yang berada di kawasan berwabak digalakkan menggunakan semburan racun aerosol untuk kegunaan di dalam rumah dan beri kerjasama sepenuhnya kepada anggota kesihatan yang menjalankan aktiviti semburan kabus, di samping memastikan persekitaran rumah bebas dari pembiakan aedes,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, bermula pada 15 Februari 2017 sehingga 2 Mac lalu, kementerian telah menerima laporan mengenai kejadian kes Chikungunya di Baling, Kedah dan Gombak, Selangor.

Bagi tempoh tersebut terdapat 50 kes disahkan dengan ujian darah yang positif untuk Chikungunya iaitu melibatkan sebanyak 36 kes dilaporkan dari Baling dan 14 kes di Gombak, Selangor. – MalaysiaGazette