Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik mencerminkan negara itu tidak mempedulikan gesaan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pelancaran senjata berbahaya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini, Malaysia bertindak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan negara pimpinan Kim Jong-un itu yang ternyata mencabul resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran empat peluru berpandu balistik yang dilakukan oleh Korea Utara pada 6 Mac 2017.

“Korea Utara sekali lagi telah menolak gesaan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pelancaran peluru berpandunya.

“Tindakan ini telah mencetuskan ketegangan serantau dan sekali lagi melambangkan sikap tidak ambil peduli Korea Utara terhadap keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea, rantau dan dunia secara amnya,” kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia memandangkan serius sikap Korea Utara itu yang merupakan pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB).

Malah tindalan itu, jelasnya lagi, akan turut menjejaskan rejim perlucutan dan ketakcambahan senjata nuklear secara serius.

“Malaysia menggesa agar Korea Utara menghentikan pelancaran semua peluru berpandu balistik dan lebih penting lagi mematuhi sepenuhnya resolusi-resolusi yang dimeterai dalam PBB,” kata kenyataan itu lagi.

Malaysia hari ini mengusir Duta Korea Utara Kang Chol dari negara ini disebabkan kegagalan kedutaan negara itu memohon maaf secara bertulis berhubung dakwaan negatif yang dibuatnya terhadap Malaysia sebelum ini.

Kang Chol meninggalkan Malaysia tepat jam 6.25 petang tadi setelah tempoh pengusiran 48 jam tamat hari ini. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast