Dalam kejadian 3 pagi itu, lapan remaja maut manakala lapan lagi. cedera apabila basikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera di jalan terbabit

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan antaranya daripada Jabatan Kimia dan laporan bedah siasat mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam, di Johor Bahru, selain rekod perubatan mangsa yang cedera.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus berkata pihak yang terbabit dalam membuat laporan berkenaan perlu mengambil masa kerana ia harus dilakukan dengan teliti, apatah lagi kes kemalangan itu melibatkan mangsa yang ramai.

Sejurus laporan diterima, polis akan melengkapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dengan kadar segera.

“Polis menjalankan siasatan dengan telus dan teliti serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak, beri kami masa dan ruang lakukan siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mahamad Akhir turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja melengahkan siasatan berhubung kes kemalangan itu yang mengakibatkan lapan remaja berbasikal maut manakala dua kritikal dan enam yang lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita dalam kejadian kira-kira 3 pagi, 18 Feb lepas.

Pemandu wanita berusi 22 itu dibebaskan dengan jaminan polis sehari selepas kejadian.

Mahamad Akhir menasihatkan orang ramai tidak membincangkan isu berkenaan dengan membuat andaian serta memberi pandangan dan ulasan di media cetak atau elektronik.

Tindakan berkenaan akan mengganggu siasatan polis dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang antaranya mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), katanya.

“Pelbagai andaian diberikan terhadap kes ini terutama di media sosial dan saya harap rakyat Malaysia hormati undang-undang,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast