Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengecam tindakan tidak beretika dan di luar dari kaedah diplomatik antarabangsa yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Korea Utara dengan menahan kakitangan Kedutaan Malaysia yang bertugas di negara itu pada masa ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau percaya langkah keras itu diambil oleh Korea Utara adalah untuk memberikan tekanan kepada Malaysia dalam siasatan pembunuhan tragis rakyat mereka baru-baru ini.

Kata beliau, tindakan Korea Utara itu juga bercanggah dengan norma diplomatik yang diterima di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, Pas menyokong langkah tegas yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu yang berlarutan dengan pihak kerajaan Korea Utara.

“Keutamaan pada peringkat ini ialah untuk memastikan keselamatan pegawai kedutaan Malaysia dan semua rakyat warganegara Malaysia yang berada di Korea Utara pada waktu ini.

“Usul tergempar perlu segera dibawa di Dewan Rakyat sebagai langkah seterusnya supaya suara rakyat menjadi satu dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.

Beliau turut menggesa supaya penyelesaian secara damai diusahakan dengan sedaya mungkin bagi mengelakkan isu itu menjadi semakin parah dan di luar kawalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast