Hilmi Yahaya

KUALA LUMPUR – Para doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat memberi rawatan awal kepada Kim Jong-nam semasa hari pembunuhannya pada 13 Februari lalu dalam keadaan sihat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, hasil pemantauan yang dibuat terhadap mereka sejak kejadian mendapati kesemuanya tidak terkesan dengan agen saraf VX.

“Mereka sihat, tidak ada kesan terkena kesan agen saraf VX,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara Dubaiz International Group dan CDIG di sini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, doktor dan kakitangan perubatan terlibat akan dipantau antara dua hingga tiga minggu lagi.

Dalam pada itu, Dr. Hilmi berkata, Malaysia tidak ada masalah untuk menyimpan mayat Jong-nam seberapa lama sehingga pewarisnya memberi sampel DNA bagi mengenal pasti identiti lelaki yang yang menggunakan nama Kim Chol dalam pasport miliknya.

“Yang kita mahu adalah sampel DNA, selagi tidak dapat kita boleh simpan mayat lelaki itu,” tambahnya.

Jong-nam yang diserang oleh dua wanita dengan menyerkup kepalanya di balai berlepas klia2 ketika menunggu penerbangan pulang ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Beliau kemudian diberi rawatan di klinik lapangan terbang tersebut sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.

Jong-nam mati dalam perjalanan ke hospital.

Analisis mayatnya mendapati dia terkena agen saraf VX, toksik berbahaya tahap tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast