Seluruh Ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat bertafakur selama seminit bagi memperingati tragedi MH370 sempena ulang tahun ke 3 tragedi tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Penggantungan sementara pencarian pesawat MH370 bukan satu pengakhiran untuk merungkai misteri kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines.

Sebaliknya, keputusan itu bagi menunggu lebih banyak bukti lebih meyakinkan berdasarkan analisa kepada data dan maklumat komprehensif oleh kumpulan pakar di Australia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan aspirasi mencari pesawat MH370 tidak pernah diabaikan.

“Tarikh 8 Mac 2014 merupakan tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan kita semua. Pastinya, waris dan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat tersebut melalui hari-hari yang begitu sukar dan pilu selama tiga puluh enam bulan ini.

“Meskipun tiga tahun berlalu, namun kesannya masih lagi terasa terutamanya oleh ahli keluarga dan rakan mangsa. Tiga belas negara juga turut kehilangan warga mereka dalam insiden yang sangat tragis ini.

“Sesungguhnya, tiada kata-kata yang dapat melakarkan kesedihan dan kepiluan waris dan ahli keluarga serta sahabat handai mangsa pesawat MH370 dalam meniti masa-masa sukar ini. Tiada apa yang dapat menjadi ganti kehilangan insan yang dikasihi.

“Hanya kenangan dan memori indah mereka menjadi peneman dan akan senantiasa tersemat dalam sanubari kita buat selama-lamanya,” katanya pada Dewan Rakyat sempena memperingati ulang tahun ketiga tragedi MH370.

Dewan Rakyat memberi laluan khas kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk ucapan memperingati tragedi MH370 sempena ulang tahun ke 3 tragedi tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017
Dewan Rakyat memberi laluan khas kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk ucapan memperingati tragedi MH370 sempena ulang tahun ke 3 tragedi tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017

Pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang penumpang dan anak kapal.

Sehingga hari ini, kehilangan pesawat itu adalah suatu misteri yang belum dapat dirungkaikan setelah usaha mencari lebih dua setengah tahun gagal.

Tiong Lai berkata, keputusan untuk menggantungan misi percarian yang dibuat bersama Australia dan China pada 17 Januari lalu adalah satu keputusan sukar ketika ahli keluarga, kerajaan dan rakyat Malaysia serta masyarakat dunia mahu tahu jawapannya.

Tambahnya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pasukan bertindak yang diwujudkan bagi mengendalikan semua urusan berkaitan pesawat MH370 berikutan penggantungan misi pencarian dasar laut. – MalaysiaGazette