Exco yang memakai baju-T lokap SPRM berwarna oren dan diiringi anggota SPRM, tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, pada pukul 9.11 pagi.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latiff Bandi dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Beliau yang tiba dengan sebuah pacuan empat roda milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki bangunan mahkamah itu pada jam 10.12 pagi, walaupun tiba di perkarangan kompleks pada jam 9.11 pagi.

SPRM akan mendapatkan tahanan reman ke atas ahlo Exco yang telah bercuti dari portfolio itu bermula 1 Mac lalu bagi menjalankan siasatan berkaitan skandal rasuah hartanah di Johor.

Abd. Latiff ditahan SPRM semalam sebaik tiba di pejabat itu untuk memberi keterangan bersabit penyalahgunaan kuasa.

Semalam, SPRM dalam kenyataannya, mengesahkan turut merampas sejumlah wang tunai RM41,000, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire dan 150 beg tangan pelbagai jenama hasil geledah di sebuah rumah dipercayai milik Abd. Latiff.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam juga, empat lelaki termasuk anaknya dan pegawai khas Abd. Latiff dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman 14 hari ke atas mereka berakhir.

Dua pemaju yang turut ditahan bersama empat individu terbabit pada 24 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu. – MalaysiaGazette