Aiman Tino pada Majlis Pelancaran Produk Sweet Aiman di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai setahun menjadi anak seni, tuah dan rezeki sememangnya telah ditakdirkan menjadi milik penyanyi Aiman Tino.

Popular satu hal namun Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri kini menjadi rebutan ramai penganjur untuk membuat persembahan di seluruh negara.

Ibaratnya, waktu hujung minggu anak muda yang bakal berusia 19 tahun pada Jun ini sudah tiada lagi dalam kalendar hidupnya.

Malah harga persembahan untuk Aiman khabarnya semakin meningkat seiring dengan popularitinya yang naik mendadak.

Terbaharu Aiman menjadi pilihan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetic Sdn. Bhd. (Wonder Glow) untuk menjalinkan kerjasama strategik mengeluarkan jenama produk sendiri penyanyi itu dikenali Sweet Aiman.

Sebagai kejutan, pengasas Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin turut menghadiahkan Aiman sebuah kereta mewah iaitu Audi R8 yang bernilai hampir RM1 juta sebagai kenderaan rasmi produk Sweet Aiman.

Aiman yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik berkata, tidak timbul istilah dia mata duitan untuk merebut semua peluang yang datang ketika namanya popular ketika ini.

“Saya bukannya mata duitan tetapi hanya mencari rezeki yang halal hasil bakat yang ada.

“Saya tidak mahu susahkan sesiapa terutama keluarga jika boleh mencari rezeki sendiri,” katanya ketika ditemui pada pelancaran produk Sweet Aiman baru-baru ini.

Aiman Tino menunjukkan produk miliknya sendiri yang diberi nama "Sweet Aiman" hasil kerjasama Aiman dan Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn Bhd pada Majlis Pelancaran Produk Sweet Aiman di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2017.
Aiman Tino menunjukkan produk miliknya sendiri yang diberi nama “Sweet Aiman” hasil kerjasama Aiman dan Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn Bhd pada Majlis Pelancaran Produk Sweet Aiman di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2017.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci itu memberitahu, dia menyahut cabaran Wonder Glow itu kerana mahu merealisasikan impiannya menjadi usahawan muda.

Sementara itu, Sweet Aiman memperkenalkan tiga produk kesihatan dan kecantikan daripada Aiman Tino iaitu 3D Cream DD mineral Cushion, Candy Cherry Brite dan Cherry Brite HD.

Aiman juga akan mengadakan jelajah mempromosi Sweet Aiman bermula di Mydin Senawang, Negeri Sembilan  pada 23 Mac ini, diikuti Mydin City One, Sarawak pada 7 April ini dan Mydin Samariang, Sarawak  pada 9 April ini.

Peminat-peminat berpeluang untuk berjumpa beramah mesra bersama Aiman dan mendapatkan produk-produknya.

Setiap pembelian Sweet Aiman layak untuk bergambar dan mendapatkan autograf bersama Aiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast