Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam bercakap pada sesi temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di pejabat Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2017

PUTRAJAYA – Ada rakyat Malaysia sanggup mengisytiharkan mereka bercerai dengan pasangan masing-masing semata-mata mahu mendapatkan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada jumlah yang lebih.

Ia merupakan antara penipuan yang dikesan dilakukan segelintir pemohon-pemohon BR1M oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Pengarah Komunikasi, Datuk Lokman Noor Adam Kementerian Kewangan mendedahkan, ada si suami yang memohon akan meletakkan nama anak sebagai tanggungan dan perkara sama juga dibuat oleh isteri.

Namun, ‘pembohongan’ itu terbongkar kerana setiap permohonan BR1M akan melalui tapisan sebanyak 13 agensi kerajaan termasuk majlis agama Islam di negeri-negeri.

Lain-lain agensi ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, polis, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Unit Gaji Angkatan Tentera, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain.

Menurut Lokman, setiap permohonan BR1M akan melalui tapisan 13 agensi ini bertujuan untuk mengurangkan ketirisan.

“Setakat ini, BR1M adalah satu bentuk bantuan kerajaan yang paling kurang ketirisan dan paling fokus. Kita kena jujur kerana bantuan BR1M ini mengutamakan golongan yang paling memerlukannya. Lantaran itu Kementerian Kewangan perlu mengurangkan ketirisan dari semasa ke semasa.

“BR1M diwujudkan untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan kos hidup. Semasa harga minyak stabil dulu, kerajaan bantu semua rakyat, sehingga kita beri bantuan persekolaha kepada semua. Tidak kira anak orang kaya, anak datuk, datin. Semua dapat. Apabila hasil minyak berkurangan, kita kena mendahului keutamaan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam pertemuan di sini.

MGF09032017_InterviewDatukLokman07

Lokman berkata, pada tahun 2017, kerajaan menerima permohonan BR1M daripada 8.2 juta pemohon dan permohonan yang ditolak berjumlah 1.9 juta manakala yang lulus 6.3 juta.

Meskipun 1.9 juta pemohonan ditolak namun ia tidak bermakna peluang mereka langsung tiada peluang.

Ini kerana, untuk tahun ini kerajaan menyasarkan untuk mengagihkan bantuan itu kepada 7.2 juta pemohon dengan bajet antara RM6.5 bilion hingga RM6.8 bilion.

Jelas beliau, permohonan yang ditolak masih ada peluang walaupun SSM menjadi isu. Isu tersebut timbul kerana mereka mendaftar perniagaan dengan SSM.

LHDNM serta SSM beranggapan mereka sudah memulakan perniagaan dan sepatutnya mereka yang memulakan perniagaan kena melaporkannya kepada kerajaan melalui akaun syarikat kepada LHDNM.

“Kalau tidak mengemukakan akaun, LHDNM beranggapan mereka berniaga dan membuat keuntungan tetapi tidak mahu mengisytiharkannya.

“Pada bulan Ogos SSM akan menghantar senarai yang masih aktif (mendaftar) dengannya. Jadi, kalau ada yang kata sudah berpuluh tahun kata tak berniaga itu tak betul.

“SSM ini pendaftarannya hanya satu tahun. Lepas satu tahun, kalau pendaftarannya tidak diperbaharui, secara automatik akan mati. Dikira tak berniaga. Jadi, pemohon yang terkesan dengan alasan SSM ini sebenarnya pada bulan Ogos 2016 masih merupakan peniaga yang berdaftar dan aktif.

“Kalau (pendaftaran) mati pada bulan September dan Oktober, mungkin LHDNM masih tidak dapat kesan. Jadi kalau kata orang itu berniaga tetapi sekerat jalan, tetap kena isytihar.

“Sebab ada orang apabila dapat satu, dua juta berhenti berniaga. Mereka ini patut tak terima BR1M?. Tak patut. Kena isytihar setakat mana dia berniaga. Kalau tidak akaun syarikat, tunjukkan akaun peribadi,” katanya.

Lokman menambah, jika ada yang mendaftar SSM tetapi tidak pernah berniaga, perlu isi Borang C untuk tutup perniagaannya, jika tidak kerajaan berpandapat mereka masih berniaga dan mengaut keuntungan.

Menurut beliau lagi, sebenarnya LHDNM sangat pemurah dalam proses memberi BR1M.

Sebagai contohnya peniaga goreng pisang yang merekodkan duit masuk sebanyak RM5,000 setiap bulan tetapi duit keluar sebanyak RM2,500.

LHDNM tidak melihat baki RM2,500 sebagai pendapatan bulanan, sebaliknya hanya 30 peratus sahaja kerana 70 peratus dianggap sebagai modal pusingan.

Kalau peniaga yang merekodkan kemasukan akaun RM10,00 dan aliran keluar RM5,000, baki yang dinilai oleh LHDNM adalah RM1,500, iaitu 30 peratus daripada pendapatan.

“Ini pun, LHDNM akan nilai pula dalam tempoh tiga bulan. Katakan ketika permohonan BR1M pada bulan Disember baki RM1,500, baki 30 peratus pada November sebanyak RM2,000 dan Oktober RM3,000, LHDNM akan kira pendapatan paling rendah bukan paling tinggi.

“Kerajaan memang hendak bagi BR1M tetapi kenalah membuat penilaian yang betul dan jujur kerana BR1M ini untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

“Jadi, kalau ada permohonan yang ditolak bukan bermakna dunia sudah berakhir. Boleh buat rayuan sehingga 15 Mei ini. Masih ada 1.1 juta pemohon yang berpeluang. Setiap tahun kalau ada 1.4 juta permohonan yang ditolak tetapi yang merayu hanya 200,000 dan 95 peratus daripada mereka ini akan dapat,” ujar Lokman.

Mengulas isu sama, Lokman berkata, ada pemohon yang menipu tidak ada cukai pendapatan atas alasan gaji rendah tetapi LHDNM akan melihat kereta atau kenderaan apa yang digunakan.

Kalau menggunakan kereta tempatan, pemohon tidak boleh ada kereta lebih daripada 1.6cc. Jika menggunakan kereta import pula juga tidak boleh di bawah 1.6cc dan tempohnya adalah tiga tahun.

Begitu juga jika pakai motor besar tidak boleh lebih 1.3cc dan mesti lebih tiga tahun.

“Sebab itu jika ada pemohon tidak ada kerja tetapi pakai kereta lebih 1.5cc, dibeli pada tahun 2015, memang permohonan mereka ditolak,” jelasnya.

Sambil berseloroh, Lokman berkata, lelaki yang berkahwin empat pun boleh mendapat BR1M dengan syarat si pemohon letak tanggungan isteri pertama dan anak-anak manakala isteri kedua kena memohon dan letak nama suami sebagai tanggungan. Begitu juga dengan isteri ketiga dan keempat.

Mengulas rungutan pemohon yang pernah mendapat BR1M tetapi gagal selepas melanjutkan pendidikan jarak jauh (PJJ), Lokman berkata, semua penuntut universiti akan mendapat Kad Siswazah 1Malaysia dengan bantuan sebanyak RM250.

Tegasnya, kerajaan tidak beri BR1M kepada penuntut tetapi pasangan boleh membuat permohonan BR1M dengan meletakkan suami/isteri sebagai tanggungan dengan syarat pendapatan isi rumah di bawah RM4,000. – MalaysiaGazette

NOTA: Sejurus selepas temuramah ini, Menteri Kewangan Kedua telah mengumumkan Kementerian Kewangan memberi kelonggaran kepada 705,562 permohonan yang tidak diluluskan peringkat awal atas alasan SSM. Mereka akan menerima BR1M pertama pada minggu depan.

Walau bagaimanapun, mereka perlu menghantar penyata akaun atau bukti bahawa pendapatan mereka di bawah RM4,000 kepada LHDNM dalam tempoh tiga bulan bagi melayakkan mereka menerima bayaran kedua BR1M 2017.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast