KUALA LUMPUR – Persatuan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) meminta rakyat khususnya pihak tertentu tidak membuat spekulasi mengenai pertikaian antara Malaysia dan Korea Utara.
Sebaliknya semua pihak perlu bersatu dan berdiri teguh di belakang kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan dan membawa pulang sembilan kakitangan kedutaan Malaysia di Pyongyang.
Presiden PAR, Datuk A. Chandrakumanan berkata, semua pihak perlu memahami keadaan semasa yang membabitkan negara dan rakyat Malaysia di Pyongyang yang dilarang meninggalkan negara itu sejak 7 Mac lalu.
“Jangan cuba memprovokasi dan mempertikaikan mengenai pertahanan negara selain jangan mengecam duta kita.
“Adalah sangat menyedihkan melihat sikap pembamgkang yang tidak sependapat dan berganding bahu dalam perkara ini, sebaliknya lebih sibuk mencari kesilapan dan mempersenda usaha dan inisiatif diplomatik yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut bekas Naib Presiden myPPP itu, kenyataan Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok adalah biadab dan tidak boleh diterima.
Justeru beliau mempersoalkan kenyataan Wan Azizah yang terlalu mengambil berat tentang pertahanan negara secara tiba-tiba.
“Wan Azizah menjadi wakil rakyat untuk dua penggal berturut-turut dan tidak pernah membangkitkan soal pertahanan dan keupayaannya selama ini, hairan tiba-tiba sahaja persoalkan dan ragu-ragu kenapa?, itupun dalam isu Korea Utara.
“Wan Azizah tidak perlu berlakon. Kementerian Pertahanan tahu yang terbaik dan hentikanlah ‘Wayang Kulit’ anda,” ujarnya.
Sementara, beliau turut mengutuk tindakan Teresa dalam media sosial Facebook miliknya bertarikh 4 Mac yang menyatakan beliau percaya Duta Malaysia di Korea Utara telah bersedia untuk dihalau keluar dari Korea Utara.
Chandrakumanan menyifatkan Teresa sebagai Ahli Parlimen yang tidak beretika.
“Ini bukan masa untuk bergurau wahai Teresa Kok. Majlis Keselamatan Negara tahu apa yang terbaik untuk dilaksanakan dan telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Perdana Menteri bagi tindakan selanjutnya dalam isu Korea Utara,” katanya.- MalaysiaGazette