Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan baki sembilan daripada sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wisma Putra dari semasa ke semasa menghubungi kumpulan ini termasuk memberi nasihat agar bersabar kerana proses membawa mereka pulang ke tanah air sedang diusahakan.

“Mereka juga bebas bergerak walaupun dikawal. Dalam pada itu, kita tidak menerima sebarang aduan dari mereka berhubung ancaman atau sebagainya dari kerajaan Korea Utara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini nasib sembilan kakitangan kedutaan Malaysia di Korea Utara yang dilarang keluar dari negara itu sejak 8 Mac lalu dan tindakan balas kerajaan ini terhadap kakitangan kedutaan Korea Utara di sini.

Menurut Reezal Merican, kerajaan sentiasa memantau perkembangan dan keselamatan mereka serta menasihatkan ahli keluarga supaya tidak bimbang kerana kerajaan akan menggunakan pelbagai saluran bagi memastikan semua sembilan kakitangan itu pulang dengan selamat.

Bagaimanapun, dua dari 11 rakyat Malaysia itu yang bertugas sebagai sukarelawan program bantuan makanan sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selamat meninggalkan negara itu pada 9 Mac. – MalaysiaGazette