Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan menetapkan harga siling bagi harga ikan kembung yang masih tinggi di pasaran.

Kenaikan harga ikan itu disebabkan pendaratan ikan yang kurang berpunca daripada musim tengkujuh.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya kenaikan harga ikan kembung tidak berpanjangan dan akan selesai apabila musim tengkujuh berakhir.

Menurutnya, kerajaan tidak mengawal pengeluaran ikan tertentu kecuali pada musim perayaan sahaja.

“Perbezaan cuaca menyebabkan pendaratan ikan kembung kurang pada tahun ini, sekali gus harga ikan tinggi.

“Tetapi kementerian tidak membuat penetapan harga siling bagi ikan kembung dan lain-lain,” katanya ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar-BN) berhubung kenaikan harga ikan kembung.

Kenaikan harga ikan kembung sehingga RM22 sekilogram menimbulkan kebimbangan kepada peniaga laksa di utara Semenanjung.

Ada peniaga yang mendakwa terpaksa tutup kedai kerana tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

Ahmad Shabery berkata, kementerian telah mengambil langkah kawalan termasuk menyediakan stok penimbal ikan kembung untuk dipasarkan ketika musim tengkujuh.

Jelasnya, dengan pendekatan itu kenaikan harga ikan yang mendadak boleh dikawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast