Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh pada 13 Februari lalu diawet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu diambil bagi memelihara mayat berkenaan daripada reput berikutan proses pengkebumiannya mengambil masa lama akibat krisis yang timbul.

“Benar mayat itu diawet. Kita tak boleh simpan dalam bilik mayat kerana akan berlaku pereputan.

“Kita mesti memelihara mayat dengan baik sebelum dituntut,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Jong-nam berada di klia 2 menunggu penerbangan ke Macau yang dijadualkan jam 10 pagi.

Bagaimanapun, dua wanita tiba-tiba menyerangnya dan menyapu mukanya dengan senjata kimia agen saraf VX.

Beliau kemudian meminta bantuan dari pada penyambut tetamu dan segera dihantar ke klinik klia 2, sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Pembunuhan itu menyebabkan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang. – MalaysiaGazette