KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya memberi pertimbangan cadangan menghentikan hidangan minuman beralkohol di dalam pesawat Malaysia Airlines dan bukan menggalakkan penjualan minuman tersebut.
Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, isu ini pernah dan beberapa kali dikemukakan oleh majoriti anak kapal yang beragama Islam.
“NUFAM sendiri juga telah mengemukakan cadangan ini bagi pihak anak-anak kapal Islam terutama semasa bulan Ramadan.
“Ia adalah perkara serius yang perlu disemak memandangkan ahli-ahli Parlimen sendiri yang mengemukakan isu itu di Parlimen,” katanya NUFAM kepada MalaysiaGazette.
Kesatuan itu berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang mahu Malaysia Airlines menghentikan penjualan minuman beralkohol.
Cadangan yang dikemukakan di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Kalabakan itu berkata, Malaysia Airlines sepatutnya mencontohi AirAsia Berhad yang mengenakan bayaran bagi minuman itu dan bukan dihidangkan secara percuma.
NUFAM berkata, cadangan Abdul Ghapur itu juga tidak tepat kerana sebagai seorang Muslim, beliau patut tahu isu itu terlalu sensitif kepada kakitangan Islam Malaysia Airlines.
“Mereka sudah beberapa kali menolak tugasan menghidang alkohol dalam pesawat dan perkara itu diminta pertimbangan kerajaan,” tambah NUFAM sambil menyifatkan cadangan ahli Parlimen itu tidak sesuai.
Katanya, Abdul Ghapur sepatutnya membuat perbandingan yang tepat dan sama – Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh sedangkan AirAsia pula syarikat penerbangan tambang murah.
“Daripada cadangan itu, ahli Parlimen itu sepatutnya mencadangkan pengecualian alkohol kerana minuman tersebut berada dalam senarai hidangan makanan halal senarai.
“NUFAM mahu bertanya sekiranya ahli-ahli Parlimen sedar akan konflik isu dalam hidangan halal Malaysia Airlines,” soal NUFAM.
Sudah sampai masanya kesedaran tentang pengambilan minuman alkohol dalam pesawat ini dipandang serius kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti serangan jantung dan trombosis vena dalam (DVT).
Menurut NUFAM, pembuat-pembuat dasar negara perlu serius menangani isu yang menjadi legasi ini.
“Memandangkan sudah ada ahli Parlimen yang mengemukakan isu ini, adalah lebih baik kita tangani sekali gus,” tambahnya.
Malah, ada kajian menunjukkan trend pengambilan minuman alkohol dalam kalangan penumpang menurun terutama bagi laluan di Asia.
“Pengambilan minuman alkohol dalam pesawat hanya menimbulkan masalah kepada penumpang dan anak-anak kapal.
“Ia termasuk isu keselamatan apabila ada penumpang yang bertindak agresif kerana mabuk,” katanya. – MalaysiaGazette