KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak dapat menahan kemarahannya hari ini selepas dirinya dijadikan perbandingan dengan pemimpin ‘diktator’ yang ada oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat membangkitkan tempoh masa pemerintah diktator terdahulu dan memasukkan Kit Siang dalam senarai individu tersebut yang bijak berpolitik secara retorik.
“Dalam politik kita dengar Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah 22 tahun, Presiden Ferdinand Marcos (Filipina 31 tahun, mungkin kita dengar Saddam Hussein (Presiden Iraq) 30 tahun, Robert Mugabe (Zimbabwe) 37 tahun, pemimpin Korea Utara Kim Il-sung selama 46 tahun dan Gelang Patah (Kit Siang capai 50 tahun dengan retorik politiknya, saya ucapkan tahniah.
“Tapi yang pasti politik beliau masih tidak berubah,” kata beliau.
Belum sempat Annuar menyambung ucapannya, Kit Siang bangun meminta untuk mencelah tetapi tidak diberikan laluan.
Kit Siang dengan nada marah dan mendakwa Annuar berbohong dan membuat fitnah terhadap dirinya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng juga kemudian bangkit dan mula mengecam Annuar sebagai “pengecut”, “ayam” dan “chicken s***!”
Pada suatu ketika Lip Eng turut menggelar Annuar sebagai “separuh jantan” dan ‘pondan’.
Kekecohan tersebut menyebabkan timbalan speaker terpaksa masuk campur dan menghentikan kedua-dua belah pihak daripada terus bertikam lidah.
Kit Siang merupakan ahli politik veteran yang bertanding dalam pilihan raya sejak tahun 1969 dan memenangi kerusi pertama di kawaan Parlimen Bandar Melaka dan sejak itu, beliau bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur dan Johor. – MalaysiaGazette