KUALA LUMPUR – Rundingan yang dijalankan diantara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malasyia (PPBM) mungkin tidak akan diteruskan di masa akan datang sekiranya parti serpihan UMNO itu menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.
Demikian menurut Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki terhadap kenyataan terbaru parti itu kelmarin yang seolah-olah akan menyertai gabungan pembangkang.
“Saya dimaklumkan hari ini (kelmarin) ada mesyuarat jawatankuasa tenikal yang telah diumumkan sebelum ini antara Pas-PPBM. Dalam jawatankuasa teknikal itu kita sudah sebut kalau sertai Pakatan Harapan (PH) maka usaha untuk meneroka hubungan antara kedua-dua parti akan terhenti.
“Kalau yang kita telah tegaskan dalam beberapa pertemuan sebelum ini dan kenyataan Presiden Pas sendiri, kita tidak akan bersama dengan mana-mana pihak yang bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN). Jadi itu sudah muktamad,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa menyatakan pendirian mereka untuk bersama gabungan pembangkang itu di bawah satu nama khas malah bersetuju untuk bertanding menggunakan satu logo.
Malah PKR, DAP, PAN dan PPBM akan bernaung di bawah satu manifesto dan memuktamadkan hanya seorang calon pembangkang bagi setiap kerusi yang akan ditandingi mereka pada PRU14.
“Kita bersetuju dengan polisi dan akan membuat satu logo atau simbol untuk pilihan raya.
“Kita juga mahu ada satu manifesto dan bersetuju untuk meletak hanya satu calon sahaja untuk mewakili gabungan ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPBM kelmarin.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zuhdi berkata, PPBM dilihat sudah nekad untuk menyertai PH dan perkara itu mungkin mengakibatkan rundingan kerjasama antara kedua-dua parti terhenti.
“Nampaknya ada hitam putih PPBM akan terus bersama PH, bahkan akan bertanding menggunakan satu lambang dan sebagainya maka seolah-olah usaha penerokaan itu sudah berakhir. Cuma belum ada keputusan rasmi (buat masa ini).
“Kalau berdasarkan syarat yang kita bagi kepada PPBM, sekiranya ini berlaku seolah-olah usaha rundingan itu sudah berakhir cuma tidak tahu kerana belum ada keputusan rasmi lagi, boleh jadi keputusan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” kata beliau.
Pas sebelum ini optimis untuk meneruskan rundingan kerjasama dengan PPBM biarpun terdapat percanggahan antara Presidennya, Datuk Seri Abduh Hadi Awang dan Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – MalaysiaGazette