Lokasi nahas mengakibatkan seorang wanita maut manakala suaminya parah dirempuh sebuah pacuan empat roda (4X4) ketika motosikal mangsa sedang berhenti di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin dekat Balai Panjang, Bachang, Melaka malam tadi.

MELAKA – Polis sudah menangkap pemandu pacuan empat roda (4X4) yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari mengakibatkan seorang wanita maut ketika motosikal mangsa sedang berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Balai Panjang, Bachang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, awal pagi tadi.

“Ujian darah dan saringan air kencing terhadap pemandu berkenaan juga dilakukan dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok.

“Polis turut merakam percakapan individu lain yang menyaksikan kemalangan tragis itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian kira-kira 11.20 malam itu, mangsa Roslinah Sinan, 53, maut ditempat kejadian manakala suaminya, Hisham Omar, 57, parah di bahagian kepala dan badan.

Ketika kejadian pasangan itu yang tinggal di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal dalam perjalanan menuju ke kedai makan di Balai Panjang.

Sebaik tiba ditempat kejadian, mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna perak dari arah belakang.

Pemandu kenderaan itu kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa yang maut dan parah di tempat kejadian.

Hasil semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia didaftarkan atas nama pengurus sebuah syarikat, lelaki berusia 44 tahun.

Pegawai penyiasat dan pengurus syarikat terbabit selaku pemilik kenderaan kemudian cuba mengesan pemandu Mitsubishi Triton berkenaan di rumahnya namun suspek tiada di kediamannya itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast