Tangkap layar klip video tular kejadian kanak-kanak, dimarahi dan ditarik rambut di Kuantan.

KUANTAN – Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan mengenai kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, wanita berusia 31 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.34 pagi tadi.

Beliau berkata, laporan berkenaan dibuat susulan klip rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial sejak semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu.

“Berdasarkan rakaman video tular, mangsa dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita dipercayai pengasuh di taska terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes itu melibatkan kanak-kanak.

Ashari menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here