MELAKA – Kadar pengangguran Melaka sekitar 1.6 peratus yang disifatkan antara terendah di negara ini membuktikan perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan membuahkan hasil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Kita lihat di Melaka ini, perangkaan cukup membanggakan. Kadar pengangguran di Melaka adalah yang terendah di negara kita, hanya kira-kira 1.6 peratus sahaja.
“Ianya bukan datang daripada langit. Ianya dirancang dan perancangan ini datang daripada Ketua Menteri, ahli EXCO, pegawai-pegawai kerajaan dan ADUN-ADUN.
“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih. Ertinya, Kerajaan Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Rauf telah merancang masa depan anak-anak muda dan memberikan peluang pekerjaan yang banyak, menyantuni orang-orang lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu momentum sokongan kepada parti itu diteruskan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, rakyat Melaka akan menentukan masa depan negeri pada pilihan raya akan datang dan berharap gelombang sokongan kepada BN terus diperkukuhkan.
“Jangan lupa, bawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, berlaku di Negeri Sembilan, insya-Allah gelombang biru itu akan berada di negeri Melaka juga,” katanya. – MalaysiaGazette
















