JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan polis gara-gara meminta bayaran ganti rugi daripada seorang wanita yang didakwa melanggar motosikalnya.
Ia selepas rakaman video papan pemuka kereta wanita berkenaan tular di media sosial.
Video berdurasi 3 minit 16 saat itu tular dalam media sosial sebelum diterima pihak polis dan pada masa sama mangsa membuat laporan berkenaan kejadian itu pukul 12.49 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut melibatkan unsur pemerasan dan halangan terhadap kereta mangsa.
Susulan itu katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun pada pukul 1.20 pagi semalam di Taman Universiti, Skudai di sini kerana mengugut meminta ganti rugi daripada mangsa.
“Polis menerima laporan daripada wanita tempatan yang berusia 30 tahun dan siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 11.30 pagi selepas mangsa diekori lelaki bermotosikal di kawasan Taman Universiti.
“Suspek meminta pengadu yang berusia 30 tahun berhenti dan kemudiannya bertengkar sebelum seorang lagi lelaki tiba di lokasi berkenaan.
“Wanita tersebut kemudiannya membunyikan hon kenderaan yang menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah selain turut merampas beberapa barang bagi tujuan siasatan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 341 kerana melakukan halangan salah.
Jelas Radin Ramlan, usaha mengesan seorang lagi suspek dipergiat.- MalaysiaGazette
















