LUMUT – Perbezaan pandangan berhubung peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diselia Kementerian Kewangan (MOF) tidak menjejaskan keutuhan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata perbezaan pendekatan dalam perkara tertentu merupakan sesuatu yang biasa dalam kerjasama politik, malah telah diuruskan dengan baik dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
“Tidak berbangkit tentang soal terjejas. Kita dalam pilihan raya bukan PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka saja, di Johor dan Negeri Sembilan pun kita memang mengambil jalur yang berbeza.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyarankan agar isu antara KKDW dan MOF diselaraskan secara harmoni menerusi perbincangan dalaman membabitkan kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Perak dan Perhimpunan Silat Anak-Anak Gayong Perak di sini hari ini.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata perbincangan di peringkat MOF akan memberi tumpuan kepada penelitian semula keperluan peruntukan serta memastikan keutamaan diberikan kepada projek pembangunan masyarakat desa yang berimpak tinggi.
Isu berkenaan mula menarik perhatian susulan kenyataan berbeza antara pemimpin kedua-dua gabungan berhubung peruntukan projek pembangunan luar bandar, yang mencetuskan spekulasi mengenai keharmonian hubungan politik PH-BN menjelang PRN Melaka.
Isu itu timbul susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.
Ahmad Zahid berkata masalah yang berlaku itu memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan, selain menegaskan keperluan menyelesaikan isu berkenaan supaya masalah bayaran tidak berlarutan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican pada Rabu lepas (2 Sept) memaklumkan tidak ada sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan telah disalurkan.
Beliau berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng supaya kerajaan mempertimbangkan pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai pandangan peribadi yang dikemukakan berteraskan hujah serta analisis sendiri.
Beliau berkata pendirian kerajaan ketika ini kekal untuk meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira keadaan serta keperluan semasa.
“Jadi dalam keadaan ini, dasar itu boleh berubah mengikut keadaan dan juga waktu tetapi buat masa hari ini, setakat ini, pendekatan dan juga keputusan kerajaan ialah untuk terus dengan dasar yang sedia ada,” katanya.
Semalam, Lim menyarankan kerajaan mengembalikan GST dan melaksanakan sistem percukaian itu dengan sewajarnya, jika ia lebih berkesan berbanding SST.
— BERNAMA
















