Gambar pelepasan Jejak Alumni UMPSA Borneo sempena Hari Malaysia 2026

KUANTAN – Penganjuran konvoi bermotosikal Kembara Hari Malaysia:Jejak Alumni UMPSA Borneo selama 11 hari baru-baru ini dipertikaikan.

Majlis Tertinggi Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkata, penganjuran yang melibatkan perjalanan sejauh 3,071 kilometer itu perlu wajar diberi penjelasan.

“Beban untuk membuktikan manfaat program ini terletak pada Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) selaku pemimpin yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal alumni.

“TNC HEPA perlu menjawab secara terbuka di lokasi manakah pertemuan alumni benar-benar berlangsung, berapa orang alumni hadir, apa pengisiannya dan apa hasil yang diperoleh universiti?” soal Majlis Tertinggi UMPSA menerusi kenyataan hari ini.

Tegasnya, hentian perjalanan dan sesi bergambar tidak boleh dianggap sebagai bukti kejayaan program terbabit.

Justeru, pihak pengurusan universiti didesak kos penuh program, sumber setiap peruntukan, pihak yang meluluskan perbelanjaan serta jumlah yang diambil daripada tabung alumni.

Persatuan terbabit juga menegaskan tidak akan menerima sebarang cubaan menggunakan nama alumni untuk mewajarkan perbelanjaan perjalanan yang tidak dapat dibuktikan nilainya.

“Wang universiti dan dana alumni bukan peruntukan untuk membiayai hobi menunggang motosikal. Kami menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi menjalankan audit bebas dan mengambil tindakan tegas sekiranya pembaziran, ketirisan atau salah guna dana dibuktikan,” tegasnya.

Difahamkan, konvoi Kembara Jejak Alumni Borneo 2026 sempena Hari Malaysia bermula 9 sehingga 20 September memperoleh penajaan daripada 46 agensi kerajaan, syarikat swasta, badan korporat serta individu perseorangan.

Pusat Perhubungan Alumni-UMPSA dalam hantaran berkaitan pelepasan konvoi itu di laman Facebooknya sebelum ini berkata, penganjurannya merupakan usaha mendekati alumni di lapangan, membina jaringan strategik dan mengukuhkan rasa kebersamaan antara alumni dengan alma mater. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here