Che Abdullah Mat Nawi

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri.

Ini berikutan wabak itu merebak di dua lagi jajahan, iaitu Bachok dan Pasir Puteh, selepas Kota Bharu dan Pasir Mas, kata anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, keputusan itu dibuat di mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini mengikut Perintah Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20).

“Berikutan keputusan tersebut, semua agensi yang berkaitan akan digerakkan untuk mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak selesema burung itu atau H5N1 itu terus merebak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Virus H5N1, yang menyerang unggas itu, dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini, pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Che Abdullah berkata wabak berkenaan merebak dengan cepat meskipun kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengambil langkah awal sebaik ia disahkan positif di Kampung Pulau Tebu.

Dua kawasan terbaru yang dikesan adalah di Kampung Dusun Durian, Bachok dan Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh. Kota Bharu menjadi jajahan paling terjejas membabitkan 18 kampung setakat ini,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 23,768 unggas dan 881 telur dimusnahkan membabitkan sebanyak 129 premis sebagai langkah pencegahan, kata Che Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast