Mayat Kim Chol masih ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara, HKL. foto MOHD HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Mayat Kim Jong-nam yang diawet pada Ahad lalu boleh bertahan sehingga tiga bulan.

Ia juga berguna jika mayat perlu dihantar ke Korea Utara, menurut sumber Hospital Kuala Lumpur.

Mayat lelaki Korea Utara itu diawet kerana dikhuatri akan mula mereput sementara menunggu warisnya mengenal pasti identitinya.

Mayat Jong-nam masih ditempatkan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur.

Jong-nam diserang di klia2 pada 13 Februari lalu ketika sedang menunggu penerbangannya ke Macau apabila dua wanita menyerkup mukanya dengan agen saraf VX.

Beliau yang dikejarkan ke Hospital Putrajaya meninggal dunia dalam perjalanan.

Sumber hospital memberitahu Bernama bahawa mayat yang tidak diawetkan hanya boleh kekal daripada reput untuk tempoh antara seminggu dan dua minggu di rumah mayat.

“Memandangkan siasatan pembunuhan Jong-nam mungkin mengambil masa yang panjang, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mengawetkan mayat bagi mencegah reput dan boleh menjejaskan siasatan,” kata sumber itu.

Ia berkata, jika kerajaan memutuskan untuk menghantar jenazah ke Korea Utara tidak lama lagi,mayatnya boleh diambil di sana sebelum proses pereputan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim telah mengesahkan bahawa waris Jong-nam telah menyerahkan kepada kerajaan Malaysia untuk pengurusan mayat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast