Dr. Mohd Aleef (kanan) mendengar rintihan Khalib mewakili lebih 3,000 penduduk Taman Terendak Permai, Sungai Udang, Melaka mengenai aduan tanah yang sepatutnya disediakan pemaju sebagai tapak tangki air tiba-tiba dirancang untuk pembinaan pencawang telekomunikasi.

MELAKA – Penantian hampir 20 tahun lebih 3,000 penduduk di Taman Terendak Permai, Sungai Udang, di sini, untuk mempunyai tangki air bagi mengatasi masalah tekanan air terus menemui jalan buntu.

Mana tidaknya, tanah berkeluasan 371.6 meter persegi yang sepatutnya disediakan pemaju sebagai tapak tangki air tiba-tiba dirancang untuk pembinaan pencawang telekomunikasi.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Persatuan Penduduk Taman Terendak Permai, Khalib Rahman berkata, kira-kira 857 keluarga di taman itu hairan perkara tersebut boleh berlaku.

Penduduk Taman Terendak Permai, Sungai Udang, Melaka membantah pembinaan pencawang telekomunikasi di tanah yang sepatutnya dibina tangki air bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan itu sejak hampir 20 tahun lalu.

Mereka mempersoalkan tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyewakan tanah itu kepada Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) bagi pembinaan pencawang telekomunikasi.

“Berapa ratus ribu ringgit mereka boleh dapat melalui sewaan pajak tapak ini?. Penduduk dah tunggu hampir 20 tahun untuk menoktahkan masalah tekanan air rendah di kawasan ini sebab itu pemaju serahkan tapak ini kepada SAMB untuk bina tangki air.

“Masalah air di sini sudah terlalu lama terutamanya setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umum jadi janganlah memikirkan keuntungan sahaja sehingga meminggirkan kebajikan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Idris Jaffar

Sementara itu, Idris Jaffar, 60 berkata, tangki air sedia ada di kawasan berhampiran telah digunakan oleh enam taman lain disekitarnya dan tidak dapat menampung keperluan Taman Terendak Permai.

“Lagi pun, di kawasan sekitar ini sudah ada enam pencawang telekomunikasi dan penduduk langsung tidak menghadapi masalah internet di sini jadi di mana logiknya keperluan pencawang itu?

“Kami pelik kerana perancangan untuk membina pencawang ini langsung tidak melibatkan penduduk seolah-olah ada perkara yang hendak disembunyikan,” katanya.

Muhammad Asyraf Abdullah

Penduduk, Muhammad Asyraf Abdullah, 49 berharap pihak berkuasa dapat segera menyiasat aduan mereka yang kerap mengalami gangguan air setiap bulan termasuk pernah terputus bekalan pada 2013.

“Kami menentang sekeras-kerasnya pembinaan pencawang ini dan mahu ia dihentikan atau kami akan buat satu memorandum dan serahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof yang turut mendengar aduan penduduk berkata, beliau sudah mengajukan masalah itu kepada Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.


Dr. Mohd Aleef mempertikaikan bagaimana tanah yang sepatutnya disediakan pemaju sebagai tapak tangki air tiba-tiba dirancang untuk pembinaan pencawang telekomunikasi.

“Namun beliau memberitahu MICTH telah mengeluarkan satu tender kepada satu syarikat untuk membina menara telekomunikasi di tanah SAMB itu.

“Ini tidak masuk akal seolah-olah projek ini yang disembunyikan kerana langsung tiada papan makluman menjelaskan apakah bentuk projek yang sedang dibina di kawasan ini,” tegasnya.

Malah, beliau berkata, sudah memperjuangkan masalah penduduk itu sejak sekian lama namun masih menemui jalan buntu sehingga ke hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast