Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Perintah pengecualian cukai pendapatan kepada institusi atau organisasi keagamaan ditubuhkan semata-mata untuk aktiviti keagamaan dan tidak bertujuan keuntungan telah diwartakan pada 15 Februari lepas.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, perintah pengecualian itu akan mula berkuat kuasa untuk tahun taksiran 2017.

“Pengecualian diberikan melalui perintah itu adalah selaras dengan pindaan perenggan 13(1)b Jadual 6 Akta 53 yang dibentang dan diluluskan pada sesi Parlimen lepas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan menteri kewangan mengeluarkan suatu perintah pengecualian di bawah 127(3)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) untuk mengecualikan bayaran cukai terhadap semua pendapatan diterima mana-mana institusi atau organisasi keagamaan atau pemajuan agama yang tidak dikendalikan bagi tujuan keuntungan.

“Institusi atau organisasi agama yang layak mendapat pengecualian di bawah perintah itu hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang mengawal selia institusi atau organisasi itu,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengelak sebarang kekeliruan, LHDN memaklumkan perintah pengecualian itu turut terpakai kepada mana-mana institusi atau organisasi keagamaan ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis yang mengawal selia institusi atau organisasi tersebut.

Menurut LHDN, pra syarat pendaftaran untuk mendapat pengecualian adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya institusi keagamaan sentiasa dikawal selia dengan baik dan tidak disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan menjelaskan pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967 bukan bertujuan mengenakan cukai terhadap badan agama, sebaliknya untuk memastikan pendapatan mereka digunakan secara khusus untuk tujuan keagamaan dan amal.

Pindaan terhadap akta itu, menyebabkan banyak badan agama keliru terutama dalam kalangan badan agama bukan Islam, melibatkan perenggan 13 (1)(b) Jadual 6 Akta berkenaan menyatakan pengecualian cukai hanya terpakai bagi sumbangan, yang diterima pertubuhan dan institusi agama bukan mencari keuntungan, dan digunakan hanya untuk tujuan amal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast