Gadis ini antaranya dikutuk kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian dan menyusahkan orang lain. Kritikan ditulis dalam pelbagai bahasa.
BUKIT MERTAJAM – Pemandu wanita yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian telah menerima kritikan bertalu-talu di alam maya dan juga media cetak.

Seorang doktor wanita yang tercedera dalam kemalangan yang berpunca daripada gadis itu memberitahu Kwong Wah Yit Poh, remaja itu hanya keluar dari kereta selepas diminta beberapa kali oleh orang ramai di tempat kejadian.

Katanya, suspek semasa turun dari kereta tidak bertanya tentang keadaan mangsa lain tetapi memeriksa keadaan diri dengan menggunakan telefon.

“Saya sangat geram pada masa itu dan terus menengking dia kerana menyebabkan kematian,” kata doktor wanita itu yang memberi bantuan kecemasan kepada Mohamad Fandi Rosly, 26, tetapi gagal menyelamatkannya.

Pengguna Internet telah melakukan ‘pemburuan’ dalam alam maya dan berjaya memperoleh gambar-gambar gadis berumur 19 tahun itu yang dilaporkan merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana mempunyai masalah pembelajaran.

Gadis itu antaranya dikutuk kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian dan menyusahkan orang lain.

Kritikan ditulis dalam pelbagai bahasa.

Remaja itu telah memandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada Selasa lalu sehingga menyebabkan beberapa orang tercedera dan seorang maut.

Gadis yang sudah ditahan polis itu pernah menjadi model sambilan termasuk dalam pameran-pameran motosikal.

Selain alam maya, kolumnis media cetak turut mengkritik remaja itu kerana tidak menghentikan kereta selepas pelanggaran pertama sehingga menyebabkan kemalangan lebih serius.

“Pada satu hari yang sibuk seperti biasa, sekumpulan orang yang tidak bersalah telah bertembung dengannya. Seorang remaja telah meragut satu nyawa dan menyebabkan lima yang lain cedera.

“Orang ramai sudah tidak boleh bertenang untuk memaafkannya kerana dia melakukan kesalahan berulang-kali (tidak menghentikan kereta selepas pelanggaran pertama),” kata kolumnis China Press, Zhen Zi Quan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast