Anggota polis patah kaki dirempuh penjenayah

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis mengalami kecederaan patah kaki kiri selepas dirempuh penjenayah dalam kejadian di Lebuh Raya Pasir Gudang berdekatan simpang Permas Barat, petang semalam.

Menerusi rakaman yang tular di laman sosial, anggota polis yang dikenali sebagai Johar Bagini dirempuh suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback warna hijau.

Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang ketika mangsa cuba menahan suspek selepas menerima maklumat daripada rakan sepasukannya dari Balai Polis Sri Alam yang sedang mengejar penjenayah itu.

Bagaimanapun, suspek tidak menghentikan kenderaannya dan terus meluncur laju ke arah mangsa yang tidak sempat untuk mengelak.

Berlaku kejadian kejar mengejar hingga ke Jalan Ros Merah dekat Taman Johor Jaya dan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek yang terkena pada bahagian belakang badan.

Anggota polis yang cedera itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette