BANGKOK – ‘Omsin’, penyu betina yang mendapat perhatian media antarabangsa kerana menelan hampir 1,000 syiling seberat 5 kilogram, mati akibat keracunan darah hari ini.
Kematian reptilia itu, yang juga dikenali dengan nama ‘Piggy Bank’ di Thailand, diumumkan Nantarika Chansue, pakar veterinar di Pusat penyelidikan Akuatik, Chulalongkorn University di sini.
“Omsin mati pada 10.10 pagi ini (waktu tempatan),” katanya kepada pemberita, yang sentiasa menantikan maklumat terkini mengenai reptilia itu sejak tersebarnya berita tentang keadaan kesihatannya yang merosot beberapa hari lepas.
Nantarika dan pasukannya menjaga penyu berusia 25 tahun itu sejak mereka melakukan pembedahan selama tujuh jam bagi mengeluarkan syiling seberat 5kg daripada saluran penghadamannya awal bulan ini.
Berita tentang pembedahan terhadap ‘Omsin’ menarik perhatian media antarabangsa dan usaha memulihkan kesihatannya menjadi tumpuan akhbar tempatan, manakala rakyat Thailand pula mengharapkan reptilia itu segera sembuh.
Sebelum memperoleh status antarabangsa, penyu itu ditempatkan di sebuah kolam di Wilayah Chon Buri, yang menjadi tumpuan penduduk tempatan melempar syiling dengan harapan memperoleh tuah.
— BERNAMA