KUALA LUMPUR – Lima penguat kuasa dan bekas penguat kuasa dari tiga buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah di sini hari ini.

Mereka yang dituduh termasuk seorang koperal, seorang sarjan, dua bekas pembantu penguat kuasa dan seorang penolong pegawai senibina.

Seorang daripada mereka anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Agensi Kawalan Sempadan Malaysia Padang Besar telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar bawah tiga pertuduhan iaitu satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,000 dan dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing bernilai RM3,000 dan RM1,000.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 mengaku tidak bersalah dan Hakim Azman Abu Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 dan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kes di Mahkamah Sesyen Ipoh pula, seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dituduh di bawah satu pertuduhan melibatkan nilai rasuah sebanyak RM800 di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Tertuduh yang dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah dan Hakim S. Indera Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan kes disebut semula pada 17 April ini.

Di Mahkamah Seksyen Shah Alam, dua bekas pembantu penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Zon Puchong, Majlis Perbandaran Subang Jaya pula masing-masing dituduh bawah tiga dan satu pertuduhan bersama melibatkan nilai rasuah keseluruhan sebanyak RM3,800.

Seorang lagi tertuduh, iaitu Penolong Pegawai Senibina Jabatan Bangunan di Majlis Perbandaran Subang Jaya turut dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam bawah satu pertuduhan melibatkan nilai rasuah sebanyak RM4,500.

Ketiga-tiga tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Untuk pertuduhan melibatkan dua bekas pembantu penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Zon Puchong, Majlis Perbandaran Subang Jaya, hakim membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM15,000 dan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 April untuk pengurusan kes.

Bagi pertuduhan melibatkan Penolong Pegawai Senibina dari Jabatan Bangunan, Majlis Perbandaran Subang Jaya pula, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 17 April ini untuk pengurusan kes.

Mereka yang didakwa mengikut 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda daripada nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi jika didapati bersalah.

Bagi kesalahan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati bersalah. – MalaysiaGazette